Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama ACE Capital Growth melancarkan aplikasi pelaburan emas digital patuh syariah yang dikenali sebagai 'EasiGold'.
Ia membolehkan pelanggan menyemak harga emas secara langsung supaya dapat melihat susut nilai yang rendah dalam pembelian jual beli emas.
Pengarah, Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, kebanyakan urusan jual beli emas ini hanya melibatkan golongan pakar, namun pihaknya menyeru semua lapisan masyarakat untuk mula membuat pelaburan.
"Pelaburan emas mampu membantu masyarakat dalam mengukuhkan kewangan ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu ini selain membuat simpanan jangka panjang.
"Kami adalah institusi perbankan Islam pertama yang menawarkan platform pelaburan emas digital sepenuhnya dalam negara. Jadi ini merupakan peluang bermanfaat kepada pelanggan," katanya.Menurutnya, untuk pendaftaran pertama, pelanggan boleh membuat pembelian minimum dua gram emas serta pelanggan juga boleh mengeluarkan emas yang dibeli namun harus meninggalkan satu gram emas dalam akaun.
"Selain itu, aplikasi ini turut memudahkan pelanggan membuat transaksi jual beli tanpa perlu ke bank kerana semuanya boleh dibuat menerusi EasiGold," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran EasiGold di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran ACE Capital Growth Sdn Bhd, Fong Pok Yee berkata, pelanggan kini boleh membeli dan menjual emas dengan menerusi aplikasi EasiGold menggunakan telefon pintar.
"Pelanggan yang berminat untuk melabur secara dalam talian boleh membuka akaun di Bank Muamalat dan boleh daftarkan diri menerusi aplikasi tersebut untuk membuat pembelian pertama," katanya.