KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd melancarkan Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i), produk pelaburan emas yang pertama membolehkan pelanggan membuka akaun, membeli, menjual dan memindahkan emas dengan mudah menerusi Maybank2u.
Melalui MIGA-i, pelanggan boleh membuat pelaburan emas dan melakukan transaksi beli atau jual dengan nilai serendah RM10.
Perkhidmatan itu membolehkan pelanggan memiliki emas fizikal dengan ketulenan 999.9 peratus seperti yang diakreditasikan oleh London Bullion Market Association tanpa perlu menyimpan emas fizikal atau bimbang akan keselamatannya.
MIGA-i berbeza daripada akaun emas konvensional, kerana akaun emas patuh Syariah itu membolehkan pelanggan menebus baki emas yang ada dalam akaun dengan emas fizikal, dalam denominasi dari sekecil satu gram sehingga satu kilogram emas.
Maybank Islamic juga adalah institusi kewangan pertama di negara ini yang dapat menyerahkan emas fizikal kepada pelanggan mereka setelah penebusan dibuat.
"Pelanggan boleh melabur dalam emas dengan nilai pelaburan awal serendah RM10."Kadar keutamaan pendahuluan akan diberikan kepada pelanggan dengan pelaburan sebanyak 100 gram ke atas untuk memastikan pelanggan mendapat harga emas yang paling menarik di pasaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan.
Akaun itu juga pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan pelanggan menikmati harga pasaran semasa secara masa nyata untuk membeli dan menjual emas.
Tidak lama lagi, pelanggan juga akan ditawarkan fleksibiliti untuk membuat pra-pesanan untuk membeli atau menjual berdasarkan harga pilihan mereka melalui Maybank2u.
Manfaat lain yang dapat dinikmati pelanggan akaun itu termasuk tebaran yang lebih rendah antara harga jualan dan belian pihak bank dan tidak ada caj tambahan apabila pelanggan memindahkan emas dalam gram dari satu akaun MIGA-i ke akaun MIGA-i yang lain.
"Terdapat peningkatan dalam pelaburan emas dalam kalangan pelanggan pada masa kini. Pandemik COVID-19 mendorong pelabur yang mengelak risiko untuk membeli aset seperti emas yang mereka anggap sebagai pelaburan yang stabil," kata Mohamed Rafique.